Pes rahsia mi bandung

Adakah anda penggemar mi bandung? Jika ya, apakah kriteria yang menyebabkan masakan ini menjadi pilihan? Adakah kuahnya yang pekat atau rasanya yang lain daripada yang lain?

Mi bandung berasal dari Johor terutama daerah Muar yang terkenal dengan keasliannya. Rasanya yang pedas dan manis membuatkan sesiapa juga yang berkunjung ke Muar tidak melepaskan peluang menikmati hidangan enak ini tidak kira sama ada pagi, tengah hari atau petang.

Peminat setia mi bandung kini boleh merasai keenakan rasa mi bandung Pak Long iaitu resipi sejak turun temurun daripada Chef Mohd Fouzi Hassan yang disediakan di Restoran Raza Cili Padi, Bandar Baru Bangi.

Selain rasanya yang pedas, keistimewaan mi bandung Pak Long terletak pada kuahnya yang pekat, manis dan penuh perisa.

Menurutnya, rahsia resipinya terletak pada bahan digunakan dalam pes mi bandung iaitu kacang tanah dan udang kering yang dikisar.

"Sebab itu keenakannya terasa kerana mengandungi semua perisa," katanya yang menyediakan pes terlebih dulu dan disimpan untuk kegunaan setiap hari.

Restoran Raza Cili Padi dibuka setiap hari mulai jam 7 pagi hingga 7 malam. Ia menyediakan hidangan lauk-pauk seperti masak lemak cili padi ayam kampung, hidangan ala carte serta kuih-muih tradisional.

Bahan:
1 peket mi kuning
500 gram udang
500 gram sotong
200 gram sayur
Dua batang serai
Bawang kecil dan bawang putih dikisar untuk menumis
Air rebusan ayam dan daging

Bahan untuk pes mi bandung:
500 gram udang kering
300 gram kacang tanah
Empat ulas bawang putih
Dua biji bawang besar
100 gram cili kering
Semua bahan untuk membuat pes dikisar halus.

Terima kasih:
- Chef Mohd Fouzi Hassan, Restoran Raza Cili Padi, Kompleks Diamond Bangi Business Park, Bandar Baru Bangi.




Tiada ulasan: