70 juadah berbuka di Restoran Ubi Kayu




Setiap kali menjelang waktu berbuka puasa, pasti kita akan memikirkan juadah yang jarang didapati pada hari-hari biasa. Ketika inilah, kita akan tercari-cari restoran yang menyajikan masakan yang begitu diingini sebagai menu berbuka.

Bagi warga yang tidak sempat pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga tercinta, biasanya mereka akan singgah berbuka di restoran yang menyajikan masakan kampung.

Namun ada kalanya, restoran yang dikunjungi tidak menyediakan masakan kampung yang menepati selera sama ada kerana rasa yang kurang enak atau lauk-pauk yang terhidang dimasak 'ala kadar' sahaja.

Usah bimbang kerana pencarian restoran yang menyajikan masakan kampung yang sedap pasti berakhir di Restoran Ubi Kayu yang terletak di USJ 9, Subang Jaya, Selangor.

Jika sukar mencari lempeng pisang, di sinilah kita dapat menemuinya. Begitu juga jika teringin menikmati gulai kawah, pulut kuning bersama rendang pedas ayam stail Perak, ikan bakar berintikan sambal kelapa, ubi kayu rebus yang dicicah dengan pilihan gula perang, sambal tumis ikan bilis atau kelapa parut, maka inilah juga restoran yang perlu disinggahi.

Menurut Azhar Mohamad, 38, terdapat lebih 70 jenis masakan kampung dan menu Barat disajikan sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata, setiap hari pihaknya akan menukar jenis nasi yang dihidangkan, misalnya nasi beriani yang diselang seli dengan nasi tomato, nasi ulam, nasi minyak dan nasi dagang.

"Terdapat lapan jenis ikan bakar, antaranya ikan terubuk, siakap, pari, kembung dan cencaru," katanya yang mengurus restoran itu bersama tiga rakan kongsinya yang lain.

Salah seorang rakan kongsinya, Isham Abu Kassim berkata, mereka sentiasa menitikberatkan soal kualiti dan rasa makanan yang sedap demi 'mengikat' pengunjung agar terus datang menjamu selera di restoran milik mereka.

Justeru, pihaknya yang dibantu oleh 20 pekerja hanya akan mula memasak juadah berbuka pada pukul 12 tengah hari. Ia dilakukan bagi menjaga kualiti makanan dan keenakannya.

"Kalau masak awal sangat misalnya pada pukul 8 pagi, sudah tentu kualiti dan rasa makanan berubah menjelang lewat petang," ujarnya.

Menjadikan restoran ini lebih istimewa apabila terdapat lauk yang tidak ada di mana-mana restoran iaitu Gulai Asam Benggali.

Menurutnya, resipi gulai itu diwarisi sejak 20 tahun lalu daripada keluarganya dan ia dibawa khas dari kampung halamannya di Bagan Serai, Perak.

"Abang dan kakak ipar saya yang berpengalaman menyediakan Gulai Asam Benggali di restoran milik keluarga, Restoran Desa Permai di Bagan Serai sanggup berhijrah ke Subang Jaya untuk membantu saya menguruskan restoran ini," katanya.

Antara bahan yang digunakan untuk menyediakan gulai itu adalah ikan jenis bersisik seperti ikan kurau, ikan jenahak atau ikan gelama, santan, jintan manis, jintan putih, cili padi, air asam jawa dan serai.

"Ikan mestilah daripada jenis yang bersisik dan sebelum digulai, ia perlu digoreng terlebih dahulu," tambahnya.

Selain menyediakan masakan yang siap dimasak, pihaknya juga menawarkan masakan panas yang boleh ditempah untuk berbuka seperti aneka jenis mi, nasi goreng dan lain-lain.

"Untuk masakan panas, menu paling popular adalah Nasi Goreng D'Ubi Kayu' yang dibungkus dengan telur dan dihidangkan bersama dua jenis lauk iaitu udang masak merah dan ayam masak kicap," katanya.

Bagi yang mahu berbuka di rumah dan tidak sempat memasak, maka restoran ini juga menyediakan satu meja khas untuk makanan bungkus.

"Pilih dan bungkus makanan yang diingini," katanya sambil memberitahu juadah berbuka mula dijual pada pukul 4.30 petang.

Selain itu, bagi yang mahu menunaikan solat Maghrib atau tarawih, anda hanya perlu berjalan kaki kira-kira tiga minit untuk sampai ke Masjid Al-Falah kerana Restoran Ubi Kayu ini terletak dekat dengan masjid berkenaan.

Tiada ulasan: