Penangan Asam Pedas



SELALU ceria, selalu selera. Slogan yang menjadi pegangan pemilik gerai Ceria Selera, Suhaimi Mohd Salleh sentiasa diamalkan bagi memastikan pelanggan berkunjung ke situ mendapat layanan terbaik dan paling memuaskan.

Tidak hairanlah apabila Jom Makan singgah ke gerai berkenaan, pelanggan kelihatan berpuas hati dengan layanan dan makanan disediakan. Pastinya menu utama pada waktu tengah hari iaitu asam pedas ikan merah dan ikan pari memikat pelanggan manakala pada sebelah pagi, juadah tradisi seperti nasi lemak, lontong, bihun dan soto `diserang’ pengunjung.

Kata Suhaimi, asam pedas yang dihidangkan di gerai berkenaan adalah resipi tradisional dan rasanya berbeza dengan asam pedas di Batu Pahat atau Parit Raja.

"Asam pedas ikan merah paling banyak mendapat sambutan. Harga amat berpatutan, sepotong ikan dijual pada harga antara RM4.50 dan RM7.

"Sememangnya asam pedas adalah menu 1Malaysia kerana digemari semua kaum, sama ada Melayu, Cina mahu pun India. Pelanggan berpuas hati dengan menu ini, lebih menggembirakan kami apabila ada pelanggan tetap dari Johor Baharu dan Segamat sanggup datang singgah semata-mata untuk menikmati asam pedas," katanya sambil menambah gerainya turut menghidangkan asam pedas ikan keli jika ada permintaan.

Selain asam pedas, Ceria Selera turut menghidangkan kerabu taugeh, ulam-ulaman, siput sedut, sambal belacan, ikan bakar, burung puyuh goreng, masak lemak cili padi, paru goreng dan sayur kampung, antara hidangan yang mendapat perhatian pelanggan.

Katanya, sup gear box turut mendapat perhatian. Lebih menarik, juadah ini dihidang dalam periuk tanah liat, sebaik dibuka penutupnya, bau aroma sup berkenaan pasti membuka selera.

Suhaimi berkata, gerainya juga dikunjungi warga Singapura dan kebanyakannya gemar menikmati lontong dan nasi lemak.

Ceria Selera beroperasi sejak kira-kira tiga tahun di Jalan Labis dan sememangnya lokasi strategik memudahkan pelanggan untuk ke destinasi lain selepas menikmati juadah.

Pada waktu sibuk dan puncak, gerai Ceria Selera boleh menampung kira-kira 80 pelanggan dan dijamin layanan memuaskan daripada 18 pekerja.

Katanya, beliau sentiasa mengambil pendekatan terbuka bagi mengelak tekanan terhadap pekerja dan meminta mereka memaklumkan sebarang masalah ketika bekerja bagi melicinkan operasi harian.

"Gaji pekerja paling minimum RM1,000 dan di samping itu saya pastikan mereka mendapat bonus, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Sebelum Aidilfitri setiap tahun, saya hadiahkan kain kepada pekerja," katanya.

Selain itu, Suhaimi berkata, Ceria Selera turut menyediakan kemudahan wifi, bilik solat dan tandas untuk pelanggannya.

"Secara keseluruhan, gerai ini pernah dikunjungi kerabat diraja, menteri, wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), pegawai kerajaan dan mufti," katanya yang berhasrat meluaskan khidmat katering dan menambah bilangan pekerjanya.

 INFO

Lokasi:
Kafeteria Majlis Daerah Yong Peng
Kilometer 1,
Jalan Labis,
Yong Peng,
Johor.

Waktu operasi: 7 pagi hingga 11 malam setiap hari
Untuk tempahan: 019-7301006/07-4674006

- Sumber darri Berita Harian

Tiada ulasan: