Fried Chicken Cheese



BAHAN-BAHAN :
  • 1 bahagian paha ayam - dibuang tulang
  • 1 keping keju
  • Sos perasa
  • Tepung gandumFried Chicken Cheese
  • 1 biji telur- dipukul
  • Serbuk roti
CARA MEMBUAT :
  1. Tumbuk secara perlahan paha ayam hingga menjadi bentuk kepingan.
  2. Bahagian isi ayam dilipat dua.
  3. Letakkan kepingan keju di anatara bahagian ayam tersebut.
  4. Kemudian, peapkan ayam dengan mengunakan sos perasauntuk seketika
  5. Lumurkan ayam dengan tepung gandum. Angkat.
  6. Kemudian lumurkan ayam dengan telur. Angkat.
  7. Lumurkan paha ayam dengan serbuk roti.
  8. Gorengkannya selama dua minit atau sehingga masak
  9. Enak dimakan bersama kentang goreng, pasta salad dan sos lada hitam.

Chicken Chop Hainan



BAHAN-BAHAN :
  • 1 bahagian paha ayam - dibuang tulang
  • Sos perasa
  • Tepung Gandum
  • 1 biji telur - dipukul
  • Serbuk Roti
CARA MEMBUAT :
  1. Tumbuk ayam secara perlahan hingga menjadi bentuk kepingan.
  2. Kemudian, perapkan ayam dengan menggunakan sos perasa untuk seketika.
  3. Lumurkan ayam dengan tepung gandum. Angkat.
  4. Kemudian lumurkan ayam dengan telur. Angkat.
  5. Lumurkan pula isi ayam dengan serbuk roti.
  6. Gorengkan ayam selama dua minit atau sehingga masak.
BAHAN DAN CARA MEMBUAT NASI MENTEGA :
  • 1 mangkuk kecil nasi
  • 2 sudu mentega
          Gaulkan nasi dengan mentega hingga sebati.

BAHAN MEMBUAT SOS HAINAN :
  • 2 sudu mentega
  • 3 susu tomato puri
  • 1 biji bawang - dicincang
  • 2 ulas bawang putih - dicincang
  • 1 biji tomato - dipotong dadu
  • Lobak - potong nipis
  • Kacang hijau
  • Air
CARA MEMBUAT SOS:
  1. Panaskan mentega. Setelah sedikit cair, masukkan bawang dan bawang putih.
  2. Kemudian, masukkan tomato dan diikuti dengan tomato puri. Kacau rata.
  3. Masukkan sedikit air untuk tidak terlalu pekat. Biarkan sos tersebut masak.
  4. Letakkan juga lobak dan kacang hijau.
  5. Setelah siap, tuang sos hainan ke atas ayam yang telah digoreng. Ia enak dimakan bersama nasi mentega.

Lasagne




BAHAN-BAHAN :
  • Pasta lasagne - direbus selama 15 minit dan kemudian direndam ke dalam air sebelum digunakan.
  • Keju mozzarella

BAHAN-BAHAN UNTUK SOS :
  • 500 gram daging kasar
  • 2 sudu minyak masak
  • 4 ulas bawang putih - dicincang
  • 1 biji bawang besar - dicincang
  • 2 biji tomato  - dicincang
  • 2 sudu sup pati tomato
  • 3 helai daun bay
  • Garam
  • Serbuh lada sulah

CARA MEMBUAT :
  1. Sediakan sos (ikuti langkah yang sama seperti membuat sos bolognese).
  2. Letakkan pasta lasagne di lapisan bawah.
  3. Ini diikuti dengan sos bolognese.
  4. Kemudian, letakkan satu lagi lapisan pasta lasagne.
  5. Taburkan keju mozarella di atas pasta tadi.
  6. Ulangi dua langkah ini untuk dua lapisan atas.
  7. Bagi lapisan terakhir, taburkan keju mozarella.
  8. Kemudian bakar menggunakan ketuhar selama lima minit.

Spaghetti Bolognese



BAHAN-BAHAN :

  • 250 gram pasta spageti - direbus terlebih dahulu
  • 500 gram daging kisar
  • 2 sudu minyak masak
  • 4 ulas bawang putih - dicincang
  • 1 biji bawang besar - dicincang
  • 2 biji tomato - dicincang
  • 2 sudu sup pati tomato
  • 3 helai daun bay
  • Garam
  • Serbuk lada sulah

CARA MEMBUAT SOS :
  1. Panaskan minyak dan masukkan bawang serta bawang putih.
  2. Kemudian masukkan pati tomato dan daun bay.
  3. Masukkan daging kasar dan gaul sebati.
  4. Letakkan tomato dan perasakan dengan garam serta serbuk lada sulah.
  5. Gaul rata dan masak selama satu jam.
  6. Untuk sos yang lebih sedap,biarkan sos ini semalaman sebelum dimakan bersama spageti.
  7. Letakkan spageti dan hidangkan bersama dengan sosnya.

Fish and Cheese



BAHAN_BAHAN :
  • Ikan Kurau
  • 1 keping keju
  • Sos perasa
  • Tepung gandum
  • 1 biji telur - dipukul
  • Serbuk roti 
CARA MEMBUAT :
  1. Tumbuk secara perlahan ikan kurau hingga menjadi betuk kepingan.
  2. Bahagian isi ikan dilipat dua.
  3. Letakkan kepingan keju diantara isi ikan tersebut.
  4. Kemudian, perapkan ikan dengan mengunakan sos perasa untuk seketika.
  5. Lumurkan ikan dengan tepung gandum. Angkat.
  6. Kemudian lumurkan ikan dengan telur. Angkat.
  7. Lumurkan pula isi ikan dengan serbuk roti.
  8. Gorengkan ikan selama dua minit atau sehingga masak.
  9. Enak dimakan bersama kentang goreng, salad dan mayonis.

Keju Mozzarella


Keju Mozzarella lembut dan bertekstur agak lembap. Keju ini mempunyai rasa berkrim lembut dan digunakan di dalam masakan seperti pizza dan pasta. Ia adalah keju dadih Itali belum matang yang asalnya dibuat dari susu kerbau tetapi kini dibuat semata-mata dari susu lembu. Keju ini boleh diperolehi dalam bentuk bulat dan kepingan besar serta siap diparut.

Keju Parmesan


Keju Parmesan adalah diantara keju buatan Itali yang paling terkenal. Keju ini berbentuk roda dan dibuat dari susu lembu. Apabila cukup matang, keju ini diparut dan digunakan di dalam masakan.

Rasanya sedikit masin dan bertekstur sedikit menggerutu. Ia digunakan sebagai penambah rasa pada pasta, pizza, atau sebagai bahan untuk berbagai jenis sos.

Grill Chicken Kebab


 BAHAN-BAHAN :
  • Isi ayam - dihiris kecil
  • Sos perasa
  • Bawang besar - dipotong dadu saiz besar
  • Lada hijau  - dipotong dadu saiz besar
  • Cendawan butang
  • Lidi

CARA MEMBUAT :
  1. Perapkan hirisan isi ayam dengan sos perasa.
  2. Kemudian, cucukkan hirisan isi ayam, diikuti bawang besar, lada hijau dan cendawan menggunakan lidi.
  3. Panggang di atas api sederhana selama 10 minit atau setelah benar-benar masak.
  4. Sedia untuk dihidangkan.


Hilangkan hamis daging kambing

Bagi menghilangkan bau hamis daging kambing, dapatkan beberapa helai daun sirih. Kemudian, ramas daun sirih bersama dengan air dan dapatkan airnya sahaja. Gunakan air tersebut unruk membasuh daging kambing. 

Selamat mencuba.

Taugeh kekal segar

Bagi memastikan taugeh kekal segar, ikuti petua ini. Masukkan taugeh ke dalam mangkuk yang berisi air. Kemudian letakkan sekeping asam gelugur. Simpannya di dalam peti sejuk. Taugeh yang disimpan akan tahan lebih lama dan tidak lembik.




Roast Chicken



BAHAN-BAHAN :
  • 1 bahagian paha ayam - dibuang tulang
  • Sos perasa
  • Sos lada hitam
  • Kentang putar

CARA MEMBUAT :
  1. Ayam diperap dengan menggunakan sos perasa selama dua hingga tiga jam.
  2. Panggang ayam di atas api sederhana sehingga masak.
  3. Untuk lebih enak hidangkan bersama sos lada hitam dan kentang putar.



Cheese Salad


BAHAN-BAHAN :
  • Daun salad - disiat kecil
  • 1 biji tomato - dipotong dadu
  • 1 keping roti - dipotong dadu dan digoreng
  • 1 biji kentang - direbus dan dipotong dadu
  • Keju Cheddar
  • 1 sudu sup mayones

CARA MEMBUAT :
  1. Masukkan salad, tomato dan kentang ke dalam mangkuk.
  2. Letakkan mayones. Gaul rata kesemua bahan.
  3. Masukkan roti. Gaul kan sekali lagi.
  4. Taburkan keju cheddar. Sedia untuk hidangan.



Berbuka ala Thai di Intai-Intai

SOM TAM
Ayam percik, murtabak, nasi tomato dan pelbagai juadah lain mula menjadi sebutan sempena kedatangan Ramadan. Tidak dapat membuat keputusan pilihan berbuka? Apa kata ubah selera berbuka puasa dengan seleksi menu menarik yang fokus kepada masakan kampung di Kelantan serta berkonsepkan gerai makanan di Bangkok, Thailand di Restoran Intai-Intai, Ampang, Selangor.

Intai-intai sedikit di belakang deretan kedai di tepi Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang, anda akan menemui restoran ala 'taman larangan' lengkap dengan pemandangan tasik serta pohon menghijau yang menenangkan milik Baha Azman Nor.

Sebut sahaja masakan Thai, pasti kita terbayang menu biasa seperti tomyam dan nasi goreng Thai walhal banyak lagi menu menyelerakan dan inilah janji Restoran Intai-Intai.

Hidangan stail gerai Bangkok menawarkan antaranya tot gai yam mamuang (ayam goreng dengan mangga hijau), khaeng goong sapharod (udang galah masak lemak nanas muda), pla muek pad prew wan (sotong masam manis) dan phad phed pla duk (ikan duri pedas dengan daun limau purut dan selasih Thai).

Rasa masam manis masakan kerabu yang sememangnya terkenal di Thailand dan Kelantan seperti kerabu pucuk paku, kerabu lemak nangka muda dan kerabu suhun bersama kulit kaki ayam pasti membuka selera pelanggan untuk terus menikmati deretan juadah bufet yang disajikan.

Menurut Baha yang berasal dari Kelantan, masakan Thailand sememangnya terkenal di tempat asalnya dan ia menepati selera tempatan membuatkan restoran Thai di sini tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Sambil menikmati makanan yang enak, pelanggan turut dihiburkan dengan alunan muzik menenangkan daripada kumpulan pemuzik khas setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Tidak lengkap ke restoran ini jika tidak menjamah nasi kukus gulai kawah bersama ayam goreng berempah yang disediakan panas-panas kepada pelanggan. Ia antara hidangan tradisi di Kelantan dan menu utama bersempena bufet Ramadan kali ini.

Pilihan pencuci mulut pula pelbagai. Daripada pulut dengan mangga dan durian hinggakan pelbagai jenis kuih-muih Melayu, kek dan buah-buahan.

Harga bufet hanya RM39.90 bagi orang dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak dari 1 hingga 7 Ramadan. Manakala 8 hingga 28 Ramadan pula, bayaran sebanyak RM49.90 dikenakan bagi dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak.

Digalakkan untuk membuat tempahan awal bagi mengelakkan kekecewaan, Baha turut mengadakan promosi iaitu percuma bufet untuk seorang bagi setiap tempahan 10 orang.


Sumber - Utusan Malaysia bertarikh 22/7/2011

Khasiat Kurma


Sepanjang Ramadan, buah kurma boleh dilihat di mana-mana saja apatah lagi sudah menjadi sunnah untuk kita memakannya terlebih dulu ketika berbuka puasa.

Untuk pengetahuan semua, kurma adalah sejenis tumbuhan palma atau bahasa saintifiknya, Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada masak atau mentah.

Buah istimewa yang banyak didapati di negara Timur Tengah ini memiliki banyak khasiat dari sudut kesihatan. Antaranya, ia mengandungi kandungan zat besi, potasium, kalsium, fosforus, sodium, vitamin A dan B serta niasin yang tinggi.

Selain itu, ia juga membantu memperkuat daya tahan tubuh, meningkatkan stamina, menggalakkan pertumbuhan tulang pada kanak-kanak, melancarkan sistem penghadaman serta dapat melindungi badan daripada pengumpulan kolesterol.
Ia juga memiliki kadar potasium dua kali ganda lebih tinggi daripada sebiji pisang dan membantu mencegah pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, demam, cirit-birit, sakit perut dan menjaga penglihatan.

Mengikut hasil kajian ahli sains Mesir, khasiat kurma terbukti dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

Di samping itu, kurma juga membantu melicinkan perjalanan darah, merawat buah pinggang dan mencuci hati serta membantu mengurangkan pengaliran darah ketika melahirkan anak.

Kandungan karbohidratnya yang tinggi membolehkannya membekalkan banyak tenaga dan kandungan zat gizi yang dimiliki penting bagi fungsi tubuh iaitu kalium khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.

Galian dalam kurma berfungsi untuk membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot dan mengatur tekanan darah. Gula yang terkandung dalam kurma pula mudah diserap dalam tubuh tanpa perlu melalui proses yang panjang.

Justeru, kurma dianggap sebagai buah paling ideal untuk hidangan berbuka puasa atau sahur. Tidak hairanlah, ia banyak disebut dalam al-Quran, malah menjadi makanan ruji Nabi Muhammad s.a.w.

Malah Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang memakan tujuh biji tamar Ajwah, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu.” (Riwayat Imam Bukhari).

Oh ya! Bagi anda yang mahu memastikan dan mengekalkan kesegaran buah kurma, ia harus sentiasa disimpan di dalam peti sejuk. Buah kurma bertangkai pula adalah kurma yang paling baik dari segi kualitinya malah selalunya ia mahal berbanding kurma biasa.

Sementara itu, kurma kering turut mempunyai keistimewaan tersendiri dan cara penyimpanannya juga lebih mudah.


Sumber - myMetro bertarikh 22/07/2012

Rasa-rasa Satay

Jarang ada yang menolak jika disuakan sate. Makanan tradisi beraroma itu cukup sinonim dan digemari orang kita. Malah, ia menjadi menu rebutan di kebanyakan jamuan.

Keenakan bahan yang diperap dengan rempah-ratus, dicucuk lidi dan dibakar, kemudian dimakan bersama timun, bawang mentah, nasi himpit dan sambal kacang cukup merangsang selera. Bagaimanapun, restoran yang mengusahakan sate sebagai menu utama boleh dibilang dengan jari.

Jika anda penggemar sate, kunjungilah Rasa-Rasa Satay di Prima Sri Gombak, Batu Caves, yang menyajikan pelbagai jenis sate. Restoran sate berkenaan mulanya dibuka di Kuantan tetapi berpindah ke lokasi baru kerana pasaran lebih tinggi dan bahan mentah mudah diperoleh.

Pengurusnya, Mohamad Rizuan Mohd Razali, berkata resipi turun-temurun menjadi pertaruhan dia dan kakaknya, Zalina, mengusahakan restoran berkenaan.

“Resipi sate ini daripada datuk kami yang dulu selalu mengambil tempahan sate. Ia kemudian diperturunkan kepada bapa saudara yang turut berniaga sate di tepi jalan. Kini saya dan kakak pula mempopularkannya kerana yakin sate menu yang digemari rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, selain sate daging ayam, lembu dan kambing yang menjadi kegemaran pelanggan, pihaknya turut menawarkan sate pedal, hati, perut dan rusa. Sate pedal dan hati yang jarang ditawarkan di tempat lain digemari kaum hawa.

Ramuan sama digunakan untuk memerap semua jenis sate termasuk pedal, perut dan hati tetapi bahan mentah berkenaan direbus terlebih dulu sebelum diperap dengan ramuan rempah-ratus.

“Untuk sate ayam, semua bahagian digunakan manakala untuk daging (lembu), bahagian batang pinang dipilih kerana ia lembut dan lebih enak manakala sate kambing diperbuat daripada bahagian paha.

“Sate diperap seharian sebelum dicucuk dan dibakar.

“Sate bukan saja digemari orang Melayu tetapi juga Cina dan India. Sambutan diterima sejak restoran ini beroperasi, Oktober lalu cukup memberangsangkan. Selain pesanan untuk makan di restoran, kami turut menerima tempahan untuk katering.

“Bagi tempahan sekurang- kurangnya 500 cucuk, kami menyediakan khidmat bakar dan hantar kepada pelanggan tetapi jika 1,000 cucuk ke atas, ia boleh dibakar di lokasi. Setakat ini, kami banyak menerima tempahan katering daripada orang Cina,” katanya.

Sate arnab ditawarkan harga promosi RM1.60 secucuk. Walaupun tidak semua orang berani mencuba sate arnab, ia mempunyai pelanggan tetap kerana dagingnya lembut dan halus.

Tidak puas makan sate, hidangan sampingan yang boleh dicuba ialah nasi goreng istimewa Rasa-Rasa Satay. Menu mengandungi udang bersalut tepung, telur dadar, keropok, tiga cucuk sate dan sambal belacan itu pasti tidak rugi jika dipesan.

Selain itu, anda boleh mencuba mi bandung yang dilengkapi bahan yang menambah keenakannya seperti telur, udang, ayam, sawi dan tauge. Jika mahu, nasi kukus ayam berempah, cuba pesan menu itu di Rasa Rasa Satay yang turut menyertakan kari ayam, sambal belacan dan acar timun. Bagi yang tidak menggemari masakan pedas atau kanak-kanak, mi hailam amat sesuai. Ia mewah dengan udang, sotong dan ayam.

Bagi mengelakkan loya kerana makan banyak, minuman sesuai disediakan di Rasa Rasa Satay. Anda boleh membasah tekak dengan jus epal kasturi, epal asam boi atau kasturi asam boi.

NASI GORENG RASA-RASA SATAY

Bahan:
Sotong, ayam dan udang.
1 sudu teh sambal belacan.
1 sudu makan cili kisar.
3 ulas bawang merah.
1 ulas bawang putih.
Garam dan gula secukup rasa.
1 sudu rempah sate.
Kailan, lobak merah, kubis dan kubis ungu (dihiris kecil).
3 ekor Udang goreng tepung.
Telur dadar.
3 cucuk sate.
Sambal belacan.

Cara memasak:
Tumis bawang putih dan merah. Tuang sedikit air. Masukkan sotong, udang dan ayam. Masukkan sambal belacan dan cili kisar, garam, gula dan rempah sate. Masukkan nasi, gaul diikuti kailan, lobak merah, kubis dan kubis bunga.


MAKANAN - HARGA
1. Sate ayam/hati 60 sen (secucuk)
2. Sate daging/kambing 70 sen (secucuk)
3. Sate perut muda RM1 (secucuk)
4. Sate arnab RM1.60 (secucuk)
5. Nasi goreng istimewa Rasa-Rasa Satay RM10
6. Mi Bandung RM6.50
7. Nasi kukus ayam berempah RM6.50
8. Mi hailam RM6.50

MINUMAN - HARGA
1. Epal kasturi RM3.30
2. Epal asam boi RM3.30
3. Kasturi asam boi RM3.30

ALAMAT: G-75, Jalan Prima SG3, Prima Sri Gombak, 68100 Batu Caves.

TELEFON: 017-3871416

WAKTU PERNIAGAAN: Selasa hingga Ahad dari jam 12 tengah hari hingga 12 malam.





Sumber - myMetro bertarikh 27/03/2011

Butter Prawn Rice


 BAHAN-BAHAN :
  •  8 ekor udang saiz sederhana - hiris bahagian belakang
  • 1 biji telur - dipukul 
  • 1 sudu teh tepung jagung
  • 1/2 biji bawang besar - dihiris halus 
  • 1 batang cili merah - dihiris halus
  • 2 tangkai daun kari - dihiris halus
  • 5 sudu sup susu cair
  • 2 sudu mentega
  • Minyak bijan
  • Garam
  • Serbuk lada sulah 

BAHAN DAN CARA MEMBUAT NASI MENTEGA :
  • 1 mangkuk kecil nasi
  • 2 sudu mentega
           Gaul nasi dan mentega hingga sebati. 

CARA MEMBUAT : 
  1. Perapkan udang terlebih dahulu dengan minyak bijan, garam dan serbuk lada sulah.
  2. Kemudian, lumurkan dengan telur dan tepung jagung.
  3. Goreng udang di dalam minyak masak yang panas. Angkat
  4. Kemudian, dalam kuali berlainan, cairkan mentega.
  5. Kemudian letakkan hirisan bawang besar, cili merah dan daun kari. Gaul rata.
  6. Masukkan susu cair. Kacau sebati hingga agak pekat.
  7. Masukkan udang. Kacau sekali lagi sehingga pekat.   





 

Cheese Penne



BAHAN-BAHAN :
  • 250 gram pasta Penne - direbus terlebih dahulu
  • 2 ulas bawang putih 
  • 4 sudu sup krim
  • 1 potong kepingan kecil mentega
  • 2 sudu kecil mozzarella
  • Daun parsli - dihiris halus
  • Garam
  • Serbuk lada sulah
  • 2 sudu minyak zaitun
  • Air

CARA MEMBUAT :
  1. Panaskan minyak zaitun dengan kepanasan sederhana dan masukkan mentega. Biarkan selama 30 saat.
  2. Masukkan bawang putih, diikuti dengan krim.
  3. Kemudian masukkan pasta penne. Kacau sebati.
  4. Masukkan hirisan daun parsli dan sedikit air.
  5. Lengkapkan dengan keju serta perasakan dengan garam dan serbuk lada sulah. Gaul rata sebelum diangkat untuk dihidangkan.
 

Nikmati udang galah segar

SALLEH Abdullah menunjukkan udang galah yang baru ditangguk dari kolam gentian kaca
untuk dimasak mengikut cita rasa pelanggan.

Pilihlah sendiri udang galah segar yang anda ingin dimasak dan menghiasi hidangan mi yang dipesan di warung milik Salleh Abdullah, 62, atau lebih dikenali dengan panggilan Pok Jak.

Sajian di depan mata yang kelihatan ringkas ternyata cukup memecah liur para pengunjung di warung yang dinamakan Kedai Makan Mee Udang Galah Pok Jak di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu.

Udang galah yang masih hidup boleh dipilih sendiri oleh pelanggan dan ditangguk dari kolam gentian kaca sebelum dibawa ke dapur untuk dimasak.

Hanya menyajikan yang segar dan berkualiti kepada pengunjung, ia sememangnya dapat memenuhi selera penggemar udang galah yang sukar diperoleh di pasaran.

Menurut Salleh, sejak beroperasi pada Januari 2010, warungnya mulai menjadi sebutan setelah masakan berasaskan udang galah diperkenalkan empat bulan selepas itu.

Dengan dibantu isterinya, Fatimah Hussin, 40, sebagai tukang masak, mereka hanya menyediakan mi kari, mi rebus dan mi goreng serta masakan panas berasaskan udang galah.

Ini membuatkan warung kecil yang memuatkan 40 tempat duduk itu sering menjadi tumpuan pengunjung dari jauh dan dekat.

"Kami menyediakan hidangan berasaskan udang galah yang kebanyakannya dibeli daripada pemancing, hasil tangkapan dari Sungai Nerus dan Sungai Terengganu," katanya kepada wartawan.

Memandangkan udang galah menjadi menu utama di warungnya, dia sentiasa memastikan udang yang diperoleh daripada hampir 30 orang kaki pancing sekitarnya segar.

Bekas pemandu kontrak jabatan kerajaan dan bapa kepada 10 orang anak itu berkata, pelanggan boleh memilih udang mengikut saiz sama ada kecil, sederhana dan besar.

''Sudah pasti harga yang ditawarkan juga mengikut harga pasaran semasa. Harga udang galah hari ini adalah RM60 sekilogram.

''Pelanggan terlebih dahulu memilih udang mengikut saiz dan bilangan yang mereka inginkan sebelum ditimbang dan ditentukan harga sebelum dimasak.

"Ada hidangan mencecah harga RM35 semangkuk dan ada serendah RM10. Biasanya pelanggan tidak mempersoalkan harga kerana berpuas hati dapat menikmati udang yang besar dan segar," katanya.

Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, Kedai Makan Mee Udang Galah Pok Jak beroperasi dari pukul 3 petang hingga lewat tengah malam amat menitikberatkan kepuasan pelanggan.

Sebab itulah kata Salleh, warung yang terletak di tepi Masjid Tanjung Sabtu itu turut disinggahi orang kenamaan termasuk para pemimpin negeri.

"Ramai pelanggan datang ambil peluang untuk bergambar sebelum menjamu selera. Saya diberitahu pelanggan bahawa mereka dapat tahu mengenai warung ini melalui blog dan laman sosial seperti Facebook," jelasnya.

Katanya, dengan sambutan yang semakin menggalakkan, masalah putus bekalan tidak boleh dielakkan.

"Memandangkan udang galah ini diperoleh dari sungai berdekatan, maka musim tengkujuh dan banjir menyebabkan bekalan terputus dan pernah satu ketika berlaku sehingga dua minggu.

"Pada musim tengkujuh sebegini, kebanyakan pelanggan menelefon terlebih dahulu sebelum datang kerana mereka hanya mahu menikmati udang galah segar. Selepas musim tengkujuh tiada masalah," ujarnya.


Udang XL kambus mi

Gerai mi udang Mak Jah pernah ditutup gara-gara terputus bekalan udang laut segar daripada nelayan Kuala Sepetang.

Dengan kuah yang pekat dan kaya dengan rencah rahsia, keenakan 
mi udang Mak Jah sukar ditandingi.

"KALAU datang ke Taiping, jangan lupa singgah ke Kuala Sepetang. Rugi kalau pulang tanpa pekena mi udang." 

Pertama kali menjejakkan kaki ke Taiping, Perak, ramai yang mengesyorkan kru Jurnal supaya merasai mi udang yang sinonim dengan Kuala Sepetang. 

Baik di gerai cendol yang terletak di tengah bandar mahupun di atas puncak Bukit Larut, keenakan hidangan itu sering diperkatakan pengunjung. 

Jadi, pada petang itu kami menuju ke Kuala Sepetang yang terletak 18 kilometer dari bandar Taiping.

Aroma yang terbit bersama kepulan asap nipis mi itu sahaja sudah menyelerakan, apatah lagi selepas melihat enam ekor udang sebesar ibu jari lelaki dewasa memenuhi mangkuk mi udang Mak Jah. 

Menurut pemilik bersama perniagaan keluarga itu, Idris Sidan, 45, hanya udang segar digunakan sebagai perencah mi di gerainya. 

"Kami hanya menggunakan udang laut segar yang dihantar terus oleh nelayan Kuala Sepetang. Kami tidak gunakan udang sungai atau udang yang dibela," katanya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2009.

Tidak pernah berkompromi tentang kualiti, Idris membuka cerita, dia pernah menutup gerai mi udang yang dinamakan sempena nama ibunya, Tijah Yusof, 75, itu gara-gara bekalan udang segar tidak mencukupi. 

"Untuk menjaga kualiti mi udang Mak Jah, kami terpaksa buat begitu. Kami tidak mahu ada pelanggan yang mengadu rasa mi udang kami berubah-ubah," ujarnya yang mengakui Kuala Sepetang semakin dikenali sebagai produk pelancongan negeri Perak. 

Udang selut

Abang kepada Idris, Johan, bertanggungjawab memastikan bekalan 
udang segar  dihantar ke gerai Mak Jah setiap hari. 
Mi udang sangat sinonim dengan Kuala Sepetang. Di sepanjang jalan menuju ke perkampungan nelayan di hujung sana, terdapat lebih kurang tujuh gerai menjual mi udang. Tambah Idris lagi, dahulu jumlahnya lebih banyak, tetapi mungkin disebabkan perniagaan itu tidak diwarisi, maka ada yang terpaksa ditutup. 

Memilih untuk hanya menggunakan udang laut, Idris ada alasannya. "Udang laut rasanya lebih enak kerana ia tidak berbau seperti udang bela atau udang sungai. "Kalau udang laut bukan dari Kuala Sepetang juga ada beza dari segi rasa kerana udang Kuala Sepetang membiak di kawasan yang berselut dan bukan berpasir," kata Idris. 

Terdapat empat jenis udang yang digunakan sebagai rencah utama mi udang Mak Jah iaitu udang jenis rotan, tolo, kertas dan harimau. Daripada empat jenis udang itu, udang kertas dikatakan lebih manis dan sedap.

Selain pemilihan udang, Idris juga sangat menjaga kualiti kuah mi. Menurutnya, resipi yang digunakan sekarang adalah hasil penambahbaikan daripada resipi turun-temurun keluarganya. 

Untuk memastikan rasa kuah tidak lari, setiap pagi Idris akan merasa dahulu mi udang sebelum dihidangkan kepada pelanggan. Rutin wajib itu tidak boleh ditinggalkan memandangkan kuah mi perlu dimasak selama beberapa jam. 

"Setiap hari kami memasak di antara dua hingga empat periuk besar kuah. Apabila ada pesanan, kuah akan dipindahkan ke kuali dan dipanaskan dengan api sederhana besar sebelum dituang ke dalam mangkuk mi dan udang.

"Sebab itu, bab merasa sangat penting kerana jika ada rasa yang kurang, ia boleh dibaiki. Alhamdulillah, kami boleh dapat rasa yang sama setiap hari," kata Idris.

Pengunjung tidak perlu menunggu
lama untuk menikmati mi udang.
Di gerai Mak Jah yang terletak di Kampung Menteri ini terdapat dua jenis mi udang yang disediakan iaitu mi udang biasa dan mi udang istimewa atau spesial.

Mi udang biasa yang dijual pada harga RM7 menggunakan hingga lapan ekor udang bersaiz sederhana besar manakala mi udang spesial yang menggunakan enam hingga tujuh ekor udang bersaiz XL berharga RM11.

Selain mi udang, gerai ini turut menyediakan masakan panas berasaskan udang seperti nasi goreng udang, sambal udang petai dan udang goreng tepung.

"Mi udang Mak Jah kini juga boleh dinikmati oleh warga kota di Jalan Wangsa Delima 10, D'Wangsa, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Ia diuruskan oleh adik saya, Sabri.

"Usah gusar tentang kualiti kerana kami masih menggunakan udang segar yang dihantar setiap hari dari Kuala Sepetang. Tukang masak juga didatangkan khas dari sini," kata Idris.

Enak dinikmati pada bila-bila masa, keasyikan meratah udang besar memang memberi pengalaman baharu penggemar makanan laut itu apatah lagi jika ia dinikmati bersama air kelapa pandan. Memang terangkat!

Sumber - Kosmo Online



Sajian tradisional Jawa

LAHIR dan dibesarkan dalam komuniti Jawa antara yang telah sebati dan sukar untuk dilupakan ialah kenangan menikmati keenakan hidangan nasi ambang (disebut ambeng).

Namun bukan sepanjang masa hidangan ini boleh dinikmati kecuali jika ada majlis-majlis tertentu seperti kenduri arwah atau kenduri kesyukuran.

Waktu itu sanggup menyengkang mata menunggu bapak balik dari kenduri semata-mata tidak mahu ketinggalan berebut berkat (panggilan untuk nasi ambang yang dibungkus dalam daun pisang untuk dibawa pulang selepas kenduri selesai).

Ketika itu aroma nasi yang berbaur dengan lauk pauk dibungkus panas-panas dengan daun pisang cukup membangkitkan selera.

Kini tinggal berjauhan dari kampung, sukar mencari nasi ambang yang benar-benar asli walaupun makanan ini telah dikomersialkan.

Sehinggalah baru-baru ini apabila penulis disaji sedulang nasi ambang di Restoran Riverstone Eco Resort di Hutan Lipur Sungai Tua, Ulu Yam, Batu Caves, Selangor, sempena perjumpaan beberapa ahli Persatuan Anak-Anak Jawa Malaysia (AAJM).

Sambil duduk bersila tangan masing-masing bersilang-silang mencubit dan menggaul lauk pauk dengan nasi dalam dulang beralaskan. Bagi yang tidak biasa atau tidak pernah melihat situasi sebegitu pasti terasa kurang senang tetapi itulah uniknya hidangan nasi ambang yang punya maksud tersirat.

Pemilik restoran, Hamidah Asararuddin berkata, sengaja dia menghidangkan sajian tradisonal itu atas permintaan ahli-ahli komuniti Facebook tersebut yang rata-ratanya turut merindui keenakan nasi ambang sebenar.

Nasi ambang, katanya, merupakan hidangan paling dekat dengan masyarakat Jawa tetapi sekarang ini agak sukar untuk mencari yang benar-benar asli dihidang di atas daun pisang dalam dulang.

Sajian yang disusun molek dalam dulang ini mengandungi pelbagai lauk wajib seperti ayam masak kicap, sambal goreng, mi atau bihun goreng, ikan kering, tempe goreng dan serunding kelapa yang jadi penyedap rasa.

Sesetengah lauk-pauk tersebut ada kalanya sedikit berbeza mengikut daerah dan tempat. Contohnya, di Johor sesetengahnya diletakkan bergedel, tumis kacang panjang dan sebagainya.

Tetapi lauk asasnya tetap sama iaitu ayam sama ada digoreng, masak kicap atau ungkep (ayam dimasak bersama rempah), sambal goreng, serunding kelapa, dan sebagainya, katanya.

Uniknya, sajian masyarakat Jawa ini mempunyai maksud tersirat di sebalik konsep makan sedulang.

Ia dilihat sebagai gambaran kekuatan ikatan silaturrahim dalam masyarakat apabila satu dulang dikongsi makan oleh empat hingga lima orang atau dibungkus untuk dinikmati bersama ahli keluarga.

Nasi ambang terasa lebih enak dinikmati
dengan duduk bersila bersama keluarga
Sementara itu bagi yang teringin menikmati nasi ambang yang asli, restoran Riverstone Eco Resort boleh menerima tempahan awal.

Sedulang nasi ambang di restoran tersebut yang boleh dinikmati antara empat hingga enam orang berharga serendah RM50.

Hamidah juga menerima tempahan nasi ambang bagi yang ingin mengadakan majlis di rumah. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 013-2080833 atau 03-92004181.










Fried Fusilli


 BAHAN-BAHAN :

  • 50 gram pasta fusilli  - direbus terbih dahulu
  • 3 sudu minyak zaitun
  • 6 ekor udang saiz sederhana
  • 2 ulas bawang putih - dihiris
  • 1 kuntum brokoli saiz kecil - dihiris
  • 1 biji tomato - dihiris
  • 1 biji cili merah - dihiris
  • 3 sudu sup pati tomato
  • Garam
  • Serbuk lada sulah
  • Air

CARA MEMBUAT :
  1. Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih sehingga naik bau.
  2. Masukkan cili merah, tomato, brokoli dan udang. Kacau dan biarkan selama 30 saat.
  3. Kemudian, masukkan tomato puri dan perasakan dengan garam dan serbuk lada sulah.
  4. Letakkan sedikit air dan masukan pasta fusilli. Gaul rata dan biarkan selama 30 saat lagi. Sediakan untuk dihidang.

TIP MEREBUS PASTA

Rebus pasta dengan sedikit garam dan minyak. Bagi mengelakkan pasta melekat selepas direbus, letakkan pasta dengan minyak zaitun dan gaul rata.



Fried Plant


  BAHAN-BAHAN :

  • 1 Biji terung saiz sederhana - dipotong dadu
  • 2 keping roti - dipotong dadu
  • 2 sudu minyak zaitun
  • 2 biji bawang putih - dicincang
  • 1 biji tomato - dicincang 
  • 3 sudu sup pati tomato 
  • Keju parmesan 
  • Garam 
  • Serbuk lada sulah 

CARA MEMBUAT : 
  1. Goreng terung dan roti di dalam minyak yang sedia panas selama dua minit secara berasingan. Angkat dan Tapis. 
  2. Di dalam kuali yang lain, panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih.
  3. Masukkan pati tomato bersama tomato. 
  4. Masukkan terung.
  5. Perasakan dengan garam dan serbuk lada sulah. 
  6. Letakkan sedikit air. Kacau sekali lagi.
  7. Masukkan roti dan kacau.
  8. Angkat dan taburkan dengan keju parmesan. 



Penangan Asam Pedas



SELALU ceria, selalu selera. Slogan yang menjadi pegangan pemilik gerai Ceria Selera, Suhaimi Mohd Salleh sentiasa diamalkan bagi memastikan pelanggan berkunjung ke situ mendapat layanan terbaik dan paling memuaskan.

Tidak hairanlah apabila Jom Makan singgah ke gerai berkenaan, pelanggan kelihatan berpuas hati dengan layanan dan makanan disediakan. Pastinya menu utama pada waktu tengah hari iaitu asam pedas ikan merah dan ikan pari memikat pelanggan manakala pada sebelah pagi, juadah tradisi seperti nasi lemak, lontong, bihun dan soto `diserang’ pengunjung.

Kata Suhaimi, asam pedas yang dihidangkan di gerai berkenaan adalah resipi tradisional dan rasanya berbeza dengan asam pedas di Batu Pahat atau Parit Raja.

"Asam pedas ikan merah paling banyak mendapat sambutan. Harga amat berpatutan, sepotong ikan dijual pada harga antara RM4.50 dan RM7.

"Sememangnya asam pedas adalah menu 1Malaysia kerana digemari semua kaum, sama ada Melayu, Cina mahu pun India. Pelanggan berpuas hati dengan menu ini, lebih menggembirakan kami apabila ada pelanggan tetap dari Johor Baharu dan Segamat sanggup datang singgah semata-mata untuk menikmati asam pedas," katanya sambil menambah gerainya turut menghidangkan asam pedas ikan keli jika ada permintaan.

Selain asam pedas, Ceria Selera turut menghidangkan kerabu taugeh, ulam-ulaman, siput sedut, sambal belacan, ikan bakar, burung puyuh goreng, masak lemak cili padi, paru goreng dan sayur kampung, antara hidangan yang mendapat perhatian pelanggan.

Katanya, sup gear box turut mendapat perhatian. Lebih menarik, juadah ini dihidang dalam periuk tanah liat, sebaik dibuka penutupnya, bau aroma sup berkenaan pasti membuka selera.

Suhaimi berkata, gerainya juga dikunjungi warga Singapura dan kebanyakannya gemar menikmati lontong dan nasi lemak.

Ceria Selera beroperasi sejak kira-kira tiga tahun di Jalan Labis dan sememangnya lokasi strategik memudahkan pelanggan untuk ke destinasi lain selepas menikmati juadah.

Pada waktu sibuk dan puncak, gerai Ceria Selera boleh menampung kira-kira 80 pelanggan dan dijamin layanan memuaskan daripada 18 pekerja.

Katanya, beliau sentiasa mengambil pendekatan terbuka bagi mengelak tekanan terhadap pekerja dan meminta mereka memaklumkan sebarang masalah ketika bekerja bagi melicinkan operasi harian.

"Gaji pekerja paling minimum RM1,000 dan di samping itu saya pastikan mereka mendapat bonus, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Sebelum Aidilfitri setiap tahun, saya hadiahkan kain kepada pekerja," katanya.

Selain itu, Suhaimi berkata, Ceria Selera turut menyediakan kemudahan wifi, bilik solat dan tandas untuk pelanggannya.

"Secara keseluruhan, gerai ini pernah dikunjungi kerabat diraja, menteri, wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), pegawai kerajaan dan mufti," katanya yang berhasrat meluaskan khidmat katering dan menambah bilangan pekerjanya.

 INFO

Lokasi:
Kafeteria Majlis Daerah Yong Peng
Kilometer 1,
Jalan Labis,
Yong Peng,
Johor.

Waktu operasi: 7 pagi hingga 11 malam setiap hari
Untuk tempahan: 019-7301006/07-4674006

- Sumber darri Berita Harian

Keenakan sambal tahun kerang


Tahan lama...sambal tahun kerang enak bersama nasi atau nasi himpit.

Sambal tahun kerang selalu dimasak di musim perayaan atau kenduri-kendara yang sangat digemari masyarakat Jawa. Selain kerang, ada yang menggunakan ikan bilis ataupun perut lembu. Apa yang penting, kepedasannya yang menyengat kerana itu yang paling memikat tetamu.

Kenapa ia dipanggi sambal tahun? Rupa-rupanya kerana teknik masakannya yang lama berserta api sederhana, ia boleh tahan lama. Sambal ini boleh disimpan dan semakin lama semakin sedap rasanya.

Resipinya mungkin seperti rendang ataupun masak lemak cili api saja kerana menggunakan santan, halia, lengkuas dan serai tetapi kelainannya dirasai kerana tambahan taucu.

Masak lemak ditambah taucu? Ternanti-nanti bagaimana rasanya tetapi setelah siap dan makan bersama nasi panas, baru tahu betapa sedap resipi ini. Resipi ini juga boleh dimakan bersama nasi mahupun dinikmati dengan nasi himpit ini.

Bahannya:
2 kilogram kerang
5 sudu minyak
4 inci lengkuas dihiris halus
Santan (sebiji kelapa, ambil patinya)
2 sudu taucu
Sekeping asam keping
20 biji cili padi (atau mengikut selera)
Garam, gula dan perasa secukup rasa

Bahan ditumbuk:
2 batang serai
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 inci belacan
2 inci halia


Penyediaan :

Sediakan...lengkuas, halia, bawang putih, bawang merah, serai, asam keping dan belacan.

Jangan Lupa...sediakan juga taucu, cili padi dan santan.

Lebih sedap.. ditumbuk bahan dengan lesung batu lebih sedap rasanya.

Tumis... bahan ditumbuk itu ditumis hingga naik bau. Masukkan taucu dan kacau beberapa minit.

Didihkan...masukkan cili padi, lengkuas, santan dan asam keping. Biarkan mendidih dalam api sederhana.
Kerang pula... kemudian masukkan kerang dan masak hingga kering. Pastikan ia sentiasa dikacau supaya tidak hangus.





 Sumber - myMetro bertarikh 17/1/2012 





70 juadah berbuka di Restoran Ubi Kayu




Setiap kali menjelang waktu berbuka puasa, pasti kita akan memikirkan juadah yang jarang didapati pada hari-hari biasa. Ketika inilah, kita akan tercari-cari restoran yang menyajikan masakan yang begitu diingini sebagai menu berbuka.

Bagi warga yang tidak sempat pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga tercinta, biasanya mereka akan singgah berbuka di restoran yang menyajikan masakan kampung.

Namun ada kalanya, restoran yang dikunjungi tidak menyediakan masakan kampung yang menepati selera sama ada kerana rasa yang kurang enak atau lauk-pauk yang terhidang dimasak 'ala kadar' sahaja.

Usah bimbang kerana pencarian restoran yang menyajikan masakan kampung yang sedap pasti berakhir di Restoran Ubi Kayu yang terletak di USJ 9, Subang Jaya, Selangor.

Jika sukar mencari lempeng pisang, di sinilah kita dapat menemuinya. Begitu juga jika teringin menikmati gulai kawah, pulut kuning bersama rendang pedas ayam stail Perak, ikan bakar berintikan sambal kelapa, ubi kayu rebus yang dicicah dengan pilihan gula perang, sambal tumis ikan bilis atau kelapa parut, maka inilah juga restoran yang perlu disinggahi.

Menurut Azhar Mohamad, 38, terdapat lebih 70 jenis masakan kampung dan menu Barat disajikan sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata, setiap hari pihaknya akan menukar jenis nasi yang dihidangkan, misalnya nasi beriani yang diselang seli dengan nasi tomato, nasi ulam, nasi minyak dan nasi dagang.

"Terdapat lapan jenis ikan bakar, antaranya ikan terubuk, siakap, pari, kembung dan cencaru," katanya yang mengurus restoran itu bersama tiga rakan kongsinya yang lain.

Salah seorang rakan kongsinya, Isham Abu Kassim berkata, mereka sentiasa menitikberatkan soal kualiti dan rasa makanan yang sedap demi 'mengikat' pengunjung agar terus datang menjamu selera di restoran milik mereka.

Justeru, pihaknya yang dibantu oleh 20 pekerja hanya akan mula memasak juadah berbuka pada pukul 12 tengah hari. Ia dilakukan bagi menjaga kualiti makanan dan keenakannya.

"Kalau masak awal sangat misalnya pada pukul 8 pagi, sudah tentu kualiti dan rasa makanan berubah menjelang lewat petang," ujarnya.

Menjadikan restoran ini lebih istimewa apabila terdapat lauk yang tidak ada di mana-mana restoran iaitu Gulai Asam Benggali.

Menurutnya, resipi gulai itu diwarisi sejak 20 tahun lalu daripada keluarganya dan ia dibawa khas dari kampung halamannya di Bagan Serai, Perak.

"Abang dan kakak ipar saya yang berpengalaman menyediakan Gulai Asam Benggali di restoran milik keluarga, Restoran Desa Permai di Bagan Serai sanggup berhijrah ke Subang Jaya untuk membantu saya menguruskan restoran ini," katanya.

Antara bahan yang digunakan untuk menyediakan gulai itu adalah ikan jenis bersisik seperti ikan kurau, ikan jenahak atau ikan gelama, santan, jintan manis, jintan putih, cili padi, air asam jawa dan serai.

"Ikan mestilah daripada jenis yang bersisik dan sebelum digulai, ia perlu digoreng terlebih dahulu," tambahnya.

Selain menyediakan masakan yang siap dimasak, pihaknya juga menawarkan masakan panas yang boleh ditempah untuk berbuka seperti aneka jenis mi, nasi goreng dan lain-lain.

"Untuk masakan panas, menu paling popular adalah Nasi Goreng D'Ubi Kayu' yang dibungkus dengan telur dan dihidangkan bersama dua jenis lauk iaitu udang masak merah dan ayam masak kicap," katanya.

Bagi yang mahu berbuka di rumah dan tidak sempat memasak, maka restoran ini juga menyediakan satu meja khas untuk makanan bungkus.

"Pilih dan bungkus makanan yang diingini," katanya sambil memberitahu juadah berbuka mula dijual pada pukul 4.30 petang.

Selain itu, bagi yang mahu menunaikan solat Maghrib atau tarawih, anda hanya perlu berjalan kaki kira-kira tiga minit untuk sampai ke Masjid Al-Falah kerana Restoran Ubi Kayu ini terletak dekat dengan masjid berkenaan.

Burger Bakar Percuma

Pengurus Gerai Burger Bakar Rawang, Mohd Fadzil Halime di Seksyen 5, Wangsa Maju

 Tawaran istimewa diadakan hanya pada hari pertama puasa

BAGI penggemar burger, pilihan untuk menikmati makanan segera ini sudah terbuka luas. Kalau dulu, rangkaian makanan segera sering menjadi tumpuan, tetapi hari ini sudah banyak gerai atau restoran yang menyediakan beraneka jenis burger.

Selain harga yang lebih murah berbanding restoran makanan segera yang sudah lama bertapak, burger di gerai atau restoran ini turut mempunyai keistimewaan tersendiri.

Malahan sesetengah penjual burger ini mempunyai ramuan atau adunan resepi rahsia serta tersendiri untuk memberikan kelainan kepada pelanggannya. Bahkan ramuan mereka itu membuatkan burger lebih enak, puas dimakan, berbaloi dengan harga yang dibayar, terutama kerana disediakan dalam saiz yang besar.

Bagi penggemar makanan ini, boleh cuba burger bakar. Cuba saja kerana sepanjang menyambut Ramadan, pemiliknya memberikan secara percuma burger bakar di cawangan Burger Bakar Rawang, Seksyen 5, Wangsa Maju.

Tawaran itu menanti pengunjung pada hari pertama puasa khusus bagi menghargai setiap pengunjung yang tidak putus bertandang ke gerai milik Mohd Fadzil Halimie, 44, yang memulakan operasi sejak Disember lalu.

"Ia juga ibarat sedekah dan juga tanggungjawab sosial saya kepada masyarakat di bulan yang mulia ini. Walaupun hidangan burger bakar dianggap asing sebagai juadah berbuka puasa, namun pada tahun ini saya berharap menu yang saya ketengahkan ini mampu mencipta kelainan dan fenomena kepada umat Islam khususnya yang tinggal di kota," katanya yang ditemui BH, baru-baru ini.

Hidangan burger bakar dianggap unik kerana selain terkenal dengan saiznya yang besar iaitu seberat 150 gram, ia juga dianggap sebagai hidangan yang sihat kerana dibakar menggunakan arang seratus peratus.

Fadzil berkata, cubaan pertama menyusun adunan daging secara bertingkat-tingkat membuahkan hasil apabila ia mula diterima pengunjung pada hari pertama memulakan operasi.

"Tambahan pula, aroma atau bau arang sebagai bahan pembakar menyebabkan ia masak secara sekata dan aromanya lebih enak dari burger biasa.

"Pendek kata, walaupun burger kami enak dan setaraf dengan masakan di restoran eksklusif, harganya memang berbaloi," katanya.

Ditanya mengapa gerai yang diusahakannya dinamakan Burger Bakar Rawang, Fadzil berkata, nama Rawang diambil sempena keluarganya yang berasal dari daerah itu.

Nama setiap menu burger yang ditawarkan juga agak menarik, seperti Ombak Rindu, KLCC, Chicken Pop, Valentine's dan 'Burgermbira.

Bagi memberi kelainan dan cita rasa baru kepada penggemarnya, sempena bulan puasa ini Burger Bakar Rawang turut mencipta menu baru iaitu I <3 U yang menggabungkan hirisan daging, nanas dan lebih istimewa, seekor udang galah diletakkan di atas burger.

Tawaran ini bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam. Sebarang pertanyaan atau tempahan, Burger Bakar Rawang boleh dihubungi di talian 019-348 2819.


Sumber - Berita Harian

Masakan Melayu di Seri Keningau

Basuni Hamim menunjukkan outlet terbaru 
Seri Keningau di Seksyen 13, Shah Alam,
Seri Keningau menjanjikan masakan Melayu pelbagai ragam meliputi masakan dari seluruh pelosok tanah air. Kepelbagaian itu sekali gus memberi pilihan kepada pengunjung untuk menikmati juadah bergantung kepada selera saat itu. Puluhan masakan kampung yang tersedia membuatkan mata rambang membuat pilihan.

Ada ayam masak merah, sambal goreng Singapura, nangka masak lemak, kari ayam, ikan bakar, dan himpunan sayuran yang macam-macam.

Sejam di Restoran Keningau terbaru di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor baru-baru ini cukup mengenyangkan apabila semua juadah tersebut disediakan di dalam sebuah pinggan besar.

Pengarah Urusan Seri Keningau, Basuni Hamim berkata, pihaknya amat cerewet dalam memastikan kualiti setiap hidangan.

“Semua makanan dijual dengan harga berpatutan. Kami memang menyediakan juadah paling sedap, segar dan terbaik,” kata Basuni.

Lelaki berasal dari Klang, Selangor itu turut menawarkan tiga hidangan terbaik kepada pengunjung selain hidangan lauk-pauk sedia ada. Menu itu adalah mee udang dengan harga RM7, char kue tiau (RM4) dan nasi mandi (RM15) yang masing-masing punyai rasa tersendiri.

Contohnya mee udang menggunakan bahan mentah paling segar. Kuah yang siap tersedia cukup mewah dengan kemanisan udang.

Begitu juga dengan rasa char kuetiau di Seri Keningau. Cukup sempurna dipadankan dengan telur mata kerbau. Sementara keenakan nasi mandi umpama menikmati juadah nasi Arab apabila dicicah dengan sambal pelengkap juadah.

Restoran Seri Keningau dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam. Selain di Seksyen 13, Shah Alam, pengunjung boleh menikmati masakan tersebut di cawangannya yang lain termasuk di Keningau, Tawau di Sabah, Bandar Baru Klang dan Seksyen 18, Shah Alam (Selangor).

Restoran tersebut juga giat mempromosikan Kentang Ball berintikan daging yang digoreng dengan telur. Menu itu dihidangkan bersama sup. Begitu juga dengan masakan ayam masak putih menggunakan bahan mentah dari organik yang cukup sihat.

Dalam perkembangan lain, Seri Keningau juga menyediakan perkhidmatan tempahan. Antara juadah paling kerap menjadi pilihan adalah daging dendeng, ayam goreng berempah, daging masak cili padi dan udang masak mentega.

Semuanya ditawarkan dengan harga berpatutan. 



Sumber - Utusan Malaysia bertarikh 19/6/2011

Pes rahsia mi bandung

Adakah anda penggemar mi bandung? Jika ya, apakah kriteria yang menyebabkan masakan ini menjadi pilihan? Adakah kuahnya yang pekat atau rasanya yang lain daripada yang lain?

Mi bandung berasal dari Johor terutama daerah Muar yang terkenal dengan keasliannya. Rasanya yang pedas dan manis membuatkan sesiapa juga yang berkunjung ke Muar tidak melepaskan peluang menikmati hidangan enak ini tidak kira sama ada pagi, tengah hari atau petang.

Peminat setia mi bandung kini boleh merasai keenakan rasa mi bandung Pak Long iaitu resipi sejak turun temurun daripada Chef Mohd Fouzi Hassan yang disediakan di Restoran Raza Cili Padi, Bandar Baru Bangi.

Selain rasanya yang pedas, keistimewaan mi bandung Pak Long terletak pada kuahnya yang pekat, manis dan penuh perisa.

Menurutnya, rahsia resipinya terletak pada bahan digunakan dalam pes mi bandung iaitu kacang tanah dan udang kering yang dikisar.

"Sebab itu keenakannya terasa kerana mengandungi semua perisa," katanya yang menyediakan pes terlebih dulu dan disimpan untuk kegunaan setiap hari.

Restoran Raza Cili Padi dibuka setiap hari mulai jam 7 pagi hingga 7 malam. Ia menyediakan hidangan lauk-pauk seperti masak lemak cili padi ayam kampung, hidangan ala carte serta kuih-muih tradisional.

Bahan:
1 peket mi kuning
500 gram udang
500 gram sotong
200 gram sayur
Dua batang serai
Bawang kecil dan bawang putih dikisar untuk menumis
Air rebusan ayam dan daging

Bahan untuk pes mi bandung:
500 gram udang kering
300 gram kacang tanah
Empat ulas bawang putih
Dua biji bawang besar
100 gram cili kering
Semua bahan untuk membuat pes dikisar halus.

Terima kasih:
- Chef Mohd Fouzi Hassan, Restoran Raza Cili Padi, Kompleks Diamond Bangi Business Park, Bandar Baru Bangi.




Pelancaran Blog

HARI ini, 1 Ramadhan 1433H, blog ini direka untuk rujukan di masa akan datang khas di dalam bidang masakan dan makanan.