Sajian Petang Aiskrim

 SEDAP...cara ringkas untuk menyediakan kek cawan 
bersama aiskrim bersalut coklat mengikut cita rasa tersendiri.

Pelbagai cara kreatif boleh dilakukan bagi menghasilkan sajian pencuci mulut yang lazat terutama jika ia membabitkan hidangan aiskrim.

Sebut namanya saja pun sudah membuatkan fikiran terbayangkan sajian sejuk pelbagai perisa yang enak apatah lagi jika ditambah hiasan tambahan seperti coklat, badam, jeli, kacang ataupun walnut, pasti lebih menyelerakan.

Menurut chef dan penasihat The Cooking House, Chin Pei Ling, sajian ini boleh dijadikan hidangan minum petang bersama keluarga dan ia tentunya menggembirakan kanak-kanak yang sememangnya gemar menikmati makanan sejuk sebegini.

Proses menyediakannya tidak sesukar mana kerana bahan utama iaitu aiskrim boleh diperoleh dengan mudah. Apa yang penting adalah mendapatkan perisa yang bersesuaian untuk memberikan lebih kenikmatan.

“Paling penting adalah untuk seimbangkan rasa hidangan terbabit, jangan menghias dengan bahan tambahan secara keterlaluan kerana ia boleh menghilangkan rasa asli aiskrim.

“Jadikan sajian yang disediakan ringkas tetapi bermakna kerana diberikan sentuhan kreatif mengikut cita rasa tersendiri,” katanya.

Sebelum itu, sediakan bahannya terlebih dulu iaitu coklat masakan yang dicairkan, kek cawan perisa coklat serta aiskrim New Zealand Natural - Boysenberry Dream.


BENTUKKAN...senduk aiskrim menjadi sebesar bola ping pong, kemudian ia dibekukan.


MASUKKAN...pastikan coklat masakan yang digunakan cair dan masukkan bebola aiskrim tadi ke dalam coklat berkenaan.


GAUL...gaul bebola aiskrim dengan pantas ke dalam coklat cair untuk mengelakkan ia cair.



LETAK...masukkan bebola aiskrim bersalut coklat ke dalam kek cawan yang dibuang sedikit bahagian tengahnya. Tekan sedikit untuk memastikan ia memasuki ruangan disediakan.




LEBIH CANTIK...hias dengan krim putar dan sedikit coklat ke atas kek cawan terbabit sebagai hiasan tambahan.

Sajian Sihat

 MUDAH...Chef Muhamad Adri bersama hidangan ayam organik 
bersama tomato dan bayam yang ringkas dan mudah disediakan.


Mungkin ramai beranggapan sajian sihat agak sukar untuk disediakan kerana perlu menggabungkan bahan berasaskan diet seimbang dan ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan terutama bagi mereka yang berkerjaya.

Namun, ternyata anggapan itu salah kerana untuk menyediakan sajian sihat tidak memerlukan masa lama. Asal bijak dan kreatif, kita boleh menyediakan sajian sihat yang ringkas menggunakan bahan mudah diperoleh.

Menurut Chef Muhamad Adri Mohd Ghazali, jangan terlalu mengehadkan bentuk sajian sihat kepada jenis tertentu saja kerana ada pelbagai cara boleh digunakan untuk menyediakan hidangan sihat.

Apa yang penting ialah mengurangkan minyak dalam masakan serta tidak menggunakan sebarang perasa tambahan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Selain itu, penggunaan bahan masakan segar amat penting selain pandai mengubah suai cara penyediaan khususnya jika ada ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi atau masalah kolesterol tinggi.

“Jangan hanya terlalu memfokuskan pada bahan digunakan kerana jika cara penyediaan masih sama, konsep hidangan sihat tidak boleh diguna pakai.

“Pilihlah cara masakan yang kurang minyak seperti kukus ataupun pelbagaikan sajian sup yang pastinya menjadikan hidangan anda lebih menarik berbanding hanya menggoreng saja,” katanya ketika ditemui pada demonstrasi masakan ayam organik bersama tomato dan bayam sempena bulan nutrisi yang diadakan di Pusat Perubatan Prince Court, baru-baru ini.


BAHAN-BAHAN

Bahan 1

400 gram isi ayam dipotong seperti bentuk jejari
2 gram daun rosemary segar dicincang
10 gram bawang putih dicincang
30 gram tepung gandum
30 mililiter minyak masak
Garam secukup rasa


Bahan 2

60 gram tomato dipotong dadu
20 gram bayam segar dihiris
30 gram cendawan butang dihiris nipis
30 mililiter stok ayam
50 mililiter krim masakan
40 gram jagung
20 gram bawang besar dicincang
3 gram garam
Lada hitam secukup rasa


CARA MEMBUAT


PERAP... perap isi ayam dengan daun rosemary, bawang putih dan sedikit garam sebagai perasa. Kemudian taburkan tepung gandum.


GORENG... goreng isi ayam tadi buat seketika menggunakan minyak yang sedikit kemudian masukkan bawang besar.



MASUKKAN...kemudian masukkan bayam, cendawan butang dan stok ayam.


DIDIH...biarkan didih seketika sebelum memasukkan krim masakan.


MASUKKAN...kemudian masukkan bayam, cendawan butang dan stok ayam.


LAZAT...sajian ayam organik bersama tomato dan bayam yang enak.

















Sumber : MyMetro bertarikh 20/08/2012














Pemakanan sihat dengan ulam-ulaman

Emmm ... baru saja bercerita mengenai ulam-ulaman bersama rakan-rakan, teringin pula untuk menulis mengenai ulam-ulaman di Malaysia, tanah air aku yang tercinta ni ...
 
Pemakanan ulama-ulaman boleh dikatakan ibarat kembali ke alam semulajadi kerana ulam merupakan tumbuhan yang dimakan secara terus atau dicelur untuk seketika. Pemilihan ulam-ulaman di dalam diet harian kita amat bertepatan kerana kelebihan khasiatnya turut diakui oleh pakar-pakar pemakanan antarabangsa.

Di Malaysia, terdapat lebih dari 120 jenis ulaman yang terdiri dari perbagai keluarga tumbuh-tumbuhan. Ianya terdiri dari tumbuhan kecil dan melata seperti pegaga sehinggalah kepada pokok-pokok renik dan pokok-pokok besar jenis saka seperti petai, jering, dan genuak/kerdas.

Pokok jenis saka adalah pokok yang besar dan tinggi pada kebiasaanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara. Pokoknya boleh meninggi atau menjulang antara 20 - 30 meter dengan ukuran lilit batangnya boleh menjangkau sehingga 2 -5 meter.


Khasiat Ulam

Oleh kerana ulam dimakan secara langsung tanpa dimasak lama, kandungan galian seperti meneral dan vitamin utama seperti kalsium (Ca), fosforus (P), besi (Fe), natrium (Na) dan Kalium (K) di dalam ulam tidak termusnah oleh haba yang terlalu panas. Sebagai contoh, daun kaduk didapati mempunyai kalsium (Ca), fosforus (P) dan besi (Fe) yang paling tinggi iaitu sebanyak 446.50 dan 13.1 mg masing-masing bagi setiap 100g, dibandingkan dengan ulam-ulam yang lain.

Ulam juga membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan disamping memudahkan pergerakan najis dalam saluran usus.


Khasiat dalam perubatan


Ulam memainkan peranan penting dalam perubatan Melayu. Sebagai contoh, pegaga kini telah diktirafkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir dalam kalangan kanak-kanak selain dapat membantu perdaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Bagi ulam jering pula, ia mengandungi jenis sebatian alkaloid pelawas yang boleh memberi ransangan untuk membuang air kecil. Selain itu, jering  dipercayai menjadi penawar yang berkesan kepada pesakit kencing manis sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit dan sekata. Ini kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu menutralkan kandungan gula di dalam badan.

Sementara bagi daun kaduk pula tidak kurang hebatnya kerana ia mempunyai kandungan kalsium yang tinggi serta mampu mengurangkan risiko osteoporisis bagi kaum wanita.


Resipi dari ulam-ulaman

Haaa...kalau dah cerita mengenai khasiat dan keistimewaannya, ni nak share resipinya pulak,

Kerabu Pegaga
Bahan-bahan
Daun Pegaga (200g)
Cili Merah (1 biji)
Bawang merah (3 ulas)
Cili padi (4 biji)
Halia (2 hiris)
Kerisek (2 sudu)
Santan pekat (3 sudu)
Udang kering (2 sudu)
Jus limau nipis (1 sudu)
Belacan goreng tanpa minyak (1 sudu)
Gula (secukup rasa)
Garam (secukup rasa)

Cara Masak
Potong halus daun pegaga.
Potong nipis bawang merah, cili padi dan cili merah.
Tumbuk udang kering hingga hancur, diikuti dengan halia. Setelah hancur, masukkan belacan dan air limau nipis dan tumbuk sebati.
Campurkan bahan ditumbuk bersama pegaga, kerisek, dan bahan dipotong. Gaul sebati.
Masukkan garam, gula dan santan pekat. Gaul sebati sebelum dihidang.

Masak lemak cili api jering
Bahan-bahan
10 biji jering tua yang telah bercambah
Secekak pucuk ubi
1 mangkuk santan cair
1 mangkuk santan pekat
Segenggam cili api kampung
5 biji bawang Merah
4 biji bawang putih    
Segenggam ikan bilis
belacan
air asam jawa
garam
gula

Cara Masak
Jering ditumbuk tengah , jangan hancur
Tumbuk cili, bawang , ikan bilis, belacan dan garam
Masukkan bahan tumbuk dan jering ke dalam periuk bersama santan cair.
Masak hingga jering empuk.Masukkan pucuk ubi dan masak lagi.
Masukan santan pekat dan kacau , rasa asam , garam dan gula secukup rasa.

Sambal Kerdas
Bahan-bahan 
300 gm kerdas
3 biji ubi kentang [dipotong kecil-kecil]
200 gm ikan bilis
300 gm cili merah [dikisar halus]
4 ulas bawang merah [dihiris halus]
1 ulas bawang putih [dihiris halus]
Sedikit air asam jawa
Minyak masak secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Cara Masak
Panaskan minyak dalam kuali, goreng kerdas sampai masak. Angkat dan toskan.
Kemudian goreng ubi kentang sampai masak. Angkat dan toskan.
Selepas itu goreng ikan bilis sampai garing. Angkat dan toskan.
Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga berbau wangi.
Kemudian masukkan cili merah dan kacau sehingga pecah minyak. Masukkan sedikit air asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Kacau lagi.
Akhir sekali, masukkan kerdas, kentang dan ikan bilis yang digoreng tadi. Gaul rata sehingga sebati.
Angkat dan sedia dihidang.


(p/s selain kerdas, petai dan jering juga boleh digunakan)
  
Kerabu Daun Kaduk
Bahan-bahan
secekak pucuk daun kaduk - dihiris halus (1cm)
1/2 biji kelapa parut
1 tangkai cili merah & segenggam cili api (kurangkan kalau tak tahan pedas)
7 ulas bawang merah
1 sudu makan (membukit) udang kering
1 sudu makan jus limau nipis/lemon/kasturi/cuka


Cara Masak
Tumbuk cili, bawang & udang kering hingga hancur, kemudian masukkan kelapa parut. tumbuk sekadar untuk sebatikan bahan-bahan. 
Panaskan sesudu minyak, tumis bahan2 tumbuk tadi. sehingga naik aroma.
Kemudian masukkan pucuk kaduk, jus limau/cuka, garam & gula. gaul rata sambil diseimbangkan rasanya.
Bila pucuk kaduk layu, bolehlah diangkat. jangan biarkan sampai lembik .



Kawal kolestrol secara semulajadi

PENYAKIT jantung dan strok adalah dua masalah kesihatan serius yang berpunca daripada tahap kolesterol tinggi. Keadaan itu dikatakan berkait rapat dengan beberapa faktor seperti keturunan, diet pemakanan dan gaya hidup seseorang.

Bagi mengatasi kebimbangan seseorang berhubung risiko menghidap penyakit jantung dan strok, kajian terkini membuktikan sumber semula jadi juga dapat membantu merendahkan tahap kolesterol secara berkesan.

Kajian itu juga menunjukkan, ada empat produk berasaskan sumber semula jadi yang kini berada di pasaran mampu mengurangkan tahap kolesterol secara sihat dan efektif, tanpa kesan sampingan. Empat bahan itu adalah sterol tumbuhan (plant sterols), bijirin oat, serbuk minyak ikan Omega 3 dan Psyllium Husk.

Sterol tumbuhan yang turut dikenali Phytosterols atau Stanols adalah sebatian pada tumbuhan dan bersifat merendahkan tahap kolesterol. Malah, pengambilan produk itu akan menurunkan tahap kolesterol sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus.

Oat pula bijirin yang mengandungi serat larut dikenali ‘beta glukan’ yang terbukti merendahkan tahap kolesterol mereka yang mengamalkan pemakanannya.

Kandungan serat, karbohidrat kompleks dan protein yang tinggi itu turut membantu menstabilkan kadar glukos dalam darah.

Minyak ikan Omega 3 atau produk Omega 3 Fish Oil Powder pula adalah asid lemak yang penting bagi metabolisma normal kerana ia mengandungi Asid Lemak Tak Tepu (EPA) bagi mengurangkan inflamasi seluruh badan.

Produk ini juga sesuai untuk penghidap masalah kesihatan hipertrigliseridemia, kardiovaskular sekunder dan tekanan darah tinggi.

Selain itu, Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan kepada pesakit jantung koronari supaya mengambil 1 gram minyak ikan seperti produk ini setiap hari.

Psyllium Husk pula secara lazimnya digunakan untuk menangani sembelit, sindrom sakit perut serta meningkatkan kemampuan dan mengekalkan otot usus.

Pada masa sama, penggunaannya mampu untuk menurunkan tahap kolesterol, mengawal diabetes dan mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Hasil kajian dijalankan The American Journal of Clinical Nutrition menunjukkan produk itu jika digunakan bersama bahan makanan, berkesan untuk mengurangkan glukosa dalam darah.

Sumber - Berita Harian, 20/10/2011

Sup urat keting UK

Konsep hidangan terbuka merupakan satu lagi tarikan restoran milik Sabul.

Sebelum ini, Sabul Ismail, 38, merupakan seorang penjual jam tangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Sabul menunjukkan urat keting mentah
Namun kini dia merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya.

Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.

Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari. Suasana di restoran itu sahaja sudah cukup membuatkan pelanggan teruja.

Seakan-akan sebuah kopitiam yang diselangi potret gambar menarik di dinding, hidangan masakannya dibuat secara terbuka.

Mengapa namanya Restoran Sup Urat Ketin?

Terdapat juga sate
“Sebenarnya buntu saya memikirkan nama restoran ini. Tiga hari saya tidur lewat kerana ingin mencipta kelainan untuk menarik pelanggan.

“Setelah puas berfikir akhirnya datang ilham. Saya rasa sup keting (‘ketin’ dalam dialek Kelantan) merupakan nama terbaik. Anda pelik mendengar namanya, bukan? Sebenarnya yang pelik itulah yang menjadikan orang tertarik,” katanya ketawa.

Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul.

Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak. Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.

Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng.

“Saiz keting yang sesuai untuk dibuat sup ialah tiga sentimeter panjang dan satu sentimeter tebal.

“Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar,” katanya.

Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu.

Antara pelanggan yang selalu datang untuk menikmati sup keting Sabul ialah pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Kid (Hamzah Mohd. Taib), bekas anggota kumpulan Search.

“Mereka datang sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi saya tidak pula bertanya pada Dr. Fadzilah mengenai rahsia makan sup khususnya bagi orang lelaki,” katanya sambil ketawa.

Sabul juga berkongsi rahsia menyediakan sup keting yang lazat.

“Ramuan untuk membuat sup keting sama seperti membuat sup tulang, sup ekor dan sup gearbox.

“Rempah ratusnya termasuk jintan, kayu manis, bunga lawang, bawang putih, bawang besar, halia dan kayu manis. Semuanya perlu diadun dan direbus bersama selama empat jam.

“Jangan pelik kerana untuk membuatnya perlu ada dua rebusan berbeza, satu rebusan tulang lembu dan satu lagi urat keting bagi membuang lemaknya.

Sup memberi Shahdan
'Kuasa Tambahan'
“Apabila telah cukup tempoh rebusan, kedua-dua air rebusan tadi digabungkan sebelum ditambah gula dan garam. Sup ini juga digemari ramai orang Cina,” katanya.

Shahdan Yusof, 29, seorang kontraktor, berpendapat sup keting dapat memberikan beliau tenaga tambahan.

“Saya kerap berpanas di tapak projek, jadi sup keting dapat memberikan saya ‘kuasa’ tambahan. Kebiasaannya saya makan sup ini tiga kali seminggu di sini,” ujarnya.

Dengan peluh mengalir di dahi ketika dia menghirup sup dan mengunyah urat keting. Syahil Siadan, 28, ada pendapat sendiri mengenai sup itu.

“Saya berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Kebiasaannya sup keting hanya menjadi menu utama ketika Hari Raya Haji. Kini ia dapat dinikmati setiap hari.

“Saya tidak perlu lagi pulang ke Kelantan kerana di Selangor pun ada sup keting,” katanya berjenaka.


Kira-kira 500 orang mengunjungi restoran ini setiap hari

Khasiat epal organik

Peribahasa Barat 'makan sebiji epal sehari, anda tidak perlu berjumpa doktor' memang diketahui umum. Kini saranan itu terkandung dalam program 3-Epal-Sehari yang mampu menyusutkan berat badan beberapa paun.

Beberapa tahun lepas, di bandar Wenatchee di Washington, Amerika Syarikat (AS), berat badan penduduk di situ mula susut bukan disebabkan kurang makan, diet terkini atau pil pelangsingan tetapi melalui perubahan gaya hidup yang mendatangkan hasil mengejutkan.

Seorang wanita susut 19 paun lemak badan sepanjang 12 minggu manakala seorang lelaki pula berjaya susut 35 paun dalam masa sama. Keseluruhannya, seramai 346 orang yang mengikuti program itu susut lebih daripada 6,000 paun lemak dalam 12 minggu.

Bagaimana ia berlaku? Dengan hanya memakan tiga biji epal Washington Apples sehari di samping program pemakanan dan senaman yang seimbang.

Perut buncitMenurut Pengarah Urusan Dya D Masha, Wan Muhammad Izzat Wan Izani, ramai rakyat negara kita menghadapi masalah perut buncit dan obesiti.

"Walaupun berpuasa dikatakan cara terbaik menurunkan berat badan, keadaan pasti berubah ketika menyambut Aidilfitri.

"Penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut harus dicari sebelum ia menjadi bertambah serius. Seseorang yang obes akan berhadapan masalah ketidakseimbangan tubuh badan. Kaki dan lutut menjadi sakit gara-gara mahu menampung badan yang berat selain risiko penyakit jantung, kencing manis dan cepat letih," ujarnya.

Muhammad Izzat menambah, salah satu pemakanan yang baik diamalkan ketika menyambut raya adalah gabungan epal organik menerusi serat kolagen dan stem sel yang dapat membantu membuang lemak berlebihan tanpa cirit birit. Ini kerana epal boleh mengawal paras kolestrol secara semula jadi ekoran kandungan seratnya yang tinggi.

"Ia boleh bergabung dengan kolestrol dan membuang lemak tidak baik sebelum lemak diserap ke dalam badan," katanya.

Dalam pada itu, Dya D Masha menghasilkan D'Apple Fiber yang mengandungi serat epal organik dan kolagen tinggi bagi membantu mengawal perut buncit, sembelit dan obesiti.

Selain pengambilan makanan tambahan, serat epal organik diperlukan dalam pemakanan harian kita. Setiap individu memerlukan 25 hingga 30 gram serat sehari untuk membantu menyahtoksin dalam badan. Serat larut ini juga membantu mengurangkan lemak berlebihan iaitu kolestrol dalam badan.

Bagaimanapun ramai yang tidak menyedari bahawa tidak mudah bagi mereka untuk mengambil jumlah serat yang diperlukan setiap hari sebelum lemak diserap ke dalam badan.

Serat epal juga bertindak membuang toksin daripada kolon dan mengawal fungsi usus serta dapat mengelakkan sembelit. Ia berbeza daripada produk lawas yang lain kerana tidak menyebabkan pengguna sakit perut seperti memulas dan cirit-birit.


Sumber :  ARKIB : 29/07/2012 Utusan Malaysia

Teknik pilih ketam segar

Sekali pandang, lambakan ketam yang dijual di pasar basah atau pasar raya kelihatan sama saja. Tetapi apabila dibawa pulang dan dimasak, rupa-rupanya ketam itu tidak lagi segar kerana rasanya yang kurang manis manakala isinya sudah berbau dan hanyir.

Berbeza dengan ikan atau sotong kerana pemilihan hidupan laut ini boleh dilihat menerusi isi luarannya yang keras dan kenyal, sedangkan isi ketam tersorok di sebalik kulitnya.

Menurut pemilik restoran Mee Ketam Kuala Lumpur yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Ubaidah Makmum, 28, bagi menjadikan hidangan lazat dan menyelerakan ketam haruslah segar dan tidak berbau.

Ini boleh dilihat menerusi belakang ketam yang berwarna putih seperti awan yang menandakan isi ketam masih elok dan manis, tetapi sekiranya disertakan tompok hitam kesegarannya sudah berkurangan.

“Kebiasaannya apabila memilih ketam, ramai melihat bahagian hadapan saja pada hal warna bahagian hadapan ketam adalah sama. Selain itu selepas dimasak, biasanya ketam segar akan menghasilkan isi yang berketul dan tidak hancur,” katanya.

Tambahnya, kesegaran ketam dapat bertahan lama sekiranya disimpan dengan cara yang betul. Ketam yang hendak disimpan di dalam peti sejuk perlu dibalut plastik atau bekas kedap udara terlebih dulu bagi mengelak isinya kecut.
Kesegaran ketam boleh bertahan sehingga seminggu jika disimpan dengan cara yang betul.

Ujar Ubaidah, terdapat dua jenis ketam yang biasa dimasak iaitu ketam bunga dan nipah manakala perbezaannya hanya pada isi.

“Ketam bunga atau ketam laut lebih manis berbanding ketam nipah. Bagaimanapun, ketam nipah lebih mahal harganya kerana sukar diperoleh dan mempunyai isi yang padu,” katanya yang menjalankan perniagaan bersama pasangan kembar, Usamah Makmum, 28.

Dia yang membuka perniagaan sejak Julai 2010 mengakui memilih perniagaan restoran berasaskan ketam kerana menjadi kegemarannya sejak kecil. Lagi pun tidak banyak restoran menyediakan masakan ini disebabkan kesukaran mendapatkan ketam segar serta tidak tahu cara mempelbagaikan masakan.

Selain digoreng, ketam boleh dijadikan hidangan pembuka selera sama ada direbus atau dimasak secara berkuah seperti kari atau masak lemak.

Restoran yang dibuka pada setiap Selasa hingga Ahad dari jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam dan Jumaat daripada 12.30 tengah hari hingga 5 petang itu menyajikan mi kari ketam serta hidangan lain termasuk bihun sup ketam, mi kari udang galah, ketam masak cili dan lada hitam dan sup ketam pada harga berpatutan.

Sunber : MyMetro bertarikh 08/05/2012

Khasiat Tempe

Potongan tempe yang belum dimasak
Tempe cukup terkenal dengan masyarakat selatan berbanding utara.

Tidak rugi mengambilnya kerana khasiatnya cukup berganda bagi wanita.

Kajian yang dijalankan oleh Achmad Biben, Dekan Fakulti Kesihatan, Universiti Padjajaran Bandung mendapati tempe mengandungi hormon estrogen yang tinggi dan paling sesuai untuk wanita lewat usia. Malah tempe juga baik untuk mencegah ostioporosis, membantu perbaiki proses pembentukan sel tulang dan menghambat penyerapan tulang.

Tempe juga bermanfaat sebagai anti-anemia, menurunkan kadar kolestrol dan menurunkan resiko penyakit koronori.

Delima awet muda

Buah kaya antioksidan, rangsang pengeluaran kolagen dan singkir kedutan

KEADAAN sel kulit yang rosak boleh mengakibatkan proses penuaan berlaku dengan cepat bahkan membuatkan kulit kelihatan kurang bermaya. Pendedahan secara langsung dan berterusan kepada cahaya matahari, pencemaran alam sekitar khususnya perubahan cuaca, pencemaran udara dan masalah lain seperti merokok, kurang minum air, tekanan dan kurang tidur, boleh menjejaskan keadaan kulit.

Bagaimanapun, kandungan bahan semula jadi dilihat antara alternatif lain yang dapat membantu mengembalikan kesihatan kulit di samping penggunaan bahan kimia yang merbahaya.

Ekstrak buah-buahan sebagai contohnya yang kaya dengan kandungan nutrisi dan vitamin adalah pilihan terbaik bukan saja untuk mengembalikan kelembapan dan kecerahan kulit tetapi juga memberikan tenaga diperlukan buat tubuh untuk kekal sihat dan bertenaga sepanjang hari.

Kehadiran antioksidan dapat mengurangkan kerosakan berkenaan dan kajian mendapati beberapa buah-buahan seperti delima mengandungi antioksidan tinggi yang mampu merangsang pengeluaran kolagen dan elastin bagi menyihatkan kulit, selain dapat melindungi sel kulit.

Kolagen dan elastin adalah protein yang membentuk struktur lapisan dalam kulit, memberikan ketegangan, keanjalan dan kelembapan yang diperlukan organ terbesar pada tubuh manusia itu dan hampir 70 peratus daripada tisu kita terdiri daripada kolagen.

Apabila usia kita semakin meningkat, penuaan intrinsik akan mula berlaku menyebabkan penghasilan kolagen secara semula jadi dalam kulit menurun.

Ketika anda melangkah masuk 25 tahun, kandungan kolagen semula jadi dalam kulit sebenarnya mula menunjukkan perubahan dan mampu menurun sebanyak 1.5 peratus setahun. Menjelang 40-an, sintesis kolagen makin berkurangan dan ia mampu mencecah hingga 40 peratus.

Proses penuaan juga boleh berlaku kerana penghasilan redikal bebas di dalam kulit lalu merangsang pengeluaran enzim perosak kulit. Proses penuaan Ekstrinsik ini berlaku kerana pencemaran alam sekitar dan gaya hidup.

Menyedar kelebihan yang terkandung dalam buah-buahan, rangkaian penjagaan diri Viqua menerusi El Marino, merungkai kekayaan vitamin ada dalam buah delima untuk untuk memberikan kesempurnaan bahkan kesan antipenuaan buat wanita yang sememangnya mengimpikan kulit jauh lebih baik dan muda.

Penyelidik bidang farmasi Universiti Madrid, Dr Ana Castellano, menurut kajian nutrisi klinikal Amerika, buah delima jelas terbukti sebagai bahan antioksidan terbaik untuk menjaga keseluruhan keperluan wanita untuk kekal anggun walaupun di usia lewat selain buah tomato, Vitamin E dan nutrisi lain-lain.

Katanya, delima yang kaya dengan antioksidan bukan saja selamat digunakan tetapi ia juga mampu membantu mencerahkan kulit di samping mencegah kerosakan radikal bebas dan tekanan oksidatif yang dipercayai penyumbang kepada penuaan awal atau pramatang.

“Sumber pencerah yang ada dalam buah berkenaan berupaya melambatkan pengeluaran melanin, sekali gus menghalang berlakunya pigmentasi pada kulit wajah yang boleh menjadikan kita kelihatan lebih tua. Pengambilan buah delima juga mampu mempertingkatkan kelembapan dan mengembalikan keanjalan kulit anda.

"Kandungan buah delima yang kaya dengan antioksidan, vitamin A, B, C dan E, asid amino, potasium serta zat serta mineral lain, dapat melindungi kulit daripada rosak akibat radikal bebas dan ini bermakna, penggunaannya mampu melawan penuaan, kedutan, kulit kusam dan pigmentasi.

“Ini kerana khasiat buat delima dapat merangsang pengeluaran kolagen dan elastin, memperbaiki sel kulit dan menghapuskan kedut serta garis halus pada wajah untuk menjadikannya kekal muda," jelasnya sempena majlis pemancaran El Mirano, baru-baru ini.

Hadir sama, sempena majlis pelancaran itu adalah Pengarah Urusan, Axialys Asia Pasifik, Jean Yves Bruxer dan Melanie Rubin yang juga Pakar Nutrisi Universiti Lyon.

Terdahulu, Dr Ana yang juga penyelidik utama Viqua menjelaskan bahawa buah delima turut dikenali dengan kebolehannya untuk meresap jauh ke dalam kulit bagi mengurangkan kerosakan kolagen dan elastin berbanding kandungan tropika biasa.

Sehubungan itu, pengambilan Viqua yang diperkaya dengan nutrisi buah delima dapat mengembalikan keremajaan wajah sekali gus memberikan melindungi kulit dari masalah penuaan yang tidak diingini wanita Asia.

“Kajian klinikal yang dijalankan selama 28 hari menunjukkan khasiat terkandung dalam Viqua mampu menambah baik keadaan kulit, mengurangkan kedutan, mengembalikan kelembapan dan memudarkan tompok hitam,” jelasnya.


INFO: Khasiat buah delima
  • Buah delima banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.
  • Kulitnya mengandungi asid tannin yang berkesan untuk menangani masalah cacing di kalangan kanak-kanak, termasuk cacing gelang, cacing peniti dan cacing kerawit.
  • Di beberapa kawasan di Iran dan Iraq, air buah delima digunakan sebagai ubat kumur untuk mengatasi masalah pernafasan berbau. Ia turut membantu membersihkan mulut dan gigi serta mencegah jangkitan mulut.
  • Zat besi yang terdapat dalam buah delima dianggap sebagai unsur penting dalam pembentukan darah merah.
  • Ia membantu membersihkan bahagian dalam tekak serta sesuai untuk mereka yang mengalami masalah batuk. Buahnya yang masam juga boleh mencegah daripada muntah.
  • Ada tiga jenis delima iaitu delima putih, merah dan ungu namun delima paling terkenal untuk dijadikan ubat adalah delima merah.
  • Buah delima juga menjadi simbol kesuburan bagi perkahwinan masyarakat di Asia Barat. 

Sumber : Berita Harian

Grill Chicken Chop


BAHAN-BAHAN :
  • 1 bahagian paha ayam - dibuang tulang
  • Sos perasa
  • Sos lada hitam

CARA MEMBUAT :
  1. Tumbuk secara perlahan ayam hingga menjadi bentuk kepingan.
  2. Kemudian, perapkan ayam dengan mengunakan sos perasa untuk seketika.
  3. Panggang sehingga masak.
  4. Untuk lebih enak, hidangkan bersama sos lada hitam, kentang goreng dan salad pasta.

Halia mampu legakan ketegangan otot

Pengambilan halia dalam diet harian sememangnya salah satu petua tradisional yang diamalkan sejak dahulu. Halia juga baik untuk mengubati penyakit selesema, sakit perut dan membuang angin daripada badan.

Kini, penyelidikan Universiti Georgia, Amerika Syarikat mendapati penggunaan halia setiap hari dalam diet seseorang dapat mengurangkan ketegangan otot disebabkan latihan sukan atau senaman.

Masalah ketegangan otot selepas senaman sesuatu yang biasa berlaku dalam kalangan orang ramai. Akar halia yang dipanas ataupun dimasak dikatakan mampu untuk menghilangkan kesakitan otot.

Mengikut kajian tersebut, halia berupaya memainkan peranan sebagai herba antiradang dapat mengurangkan ketegangan otot sehingga 25 peratus dan haba daripada halia pula dapat mengawal kesakitan yang semakin meningkat akibat aktiviti senaman itu.

Sumber: Universiti Georgia